Sunday, December 12, 2010

20 Tahun Lalu

Tanggal 12.12.1990, aku berempat bersiap-siap untuk suatu perjalanan yang jauh. Daripada Muar, Johor ke nun jauh di Kuala Terengganu. Tak banyak yang boleh aku 'refresh' kenangan dan nostalgia tersebut.

Setelah bertungkus-lumus membangunkan Madrasah Darul Ulum (MADUS) , Serom 4, Muar bermula kira-kira tahun 1987 maka kami sebagai pelajar perintis di situ telah diminta untuk melanjutkan pengajian di Terengganu. Kenangan awal pembangunan di MADUS sehingga tahun 1990 masih banyak yang terpahat di dalam memori ini.

Kami berempat yang dimaksudkan ialah adik aku sendiri Nurul Iman Ibrahim, sahabat-sahabat Hisyam Ahbar dan Nujaimi Muhammad. Kami menaiki kereta jenis Datsun Wagon yang dipandu oleh Ustaz Muhammad Ismail (Nazir MADUS) dan diiringi oleh Allahyarham Ustaz Ahbar Anang (Mudir MADUS) mula bertolak daripada MADUS ke Kg Tok Jiring, Kuala Terengganu. Perjalanan pada itu mengambil masa dalam 8-9 jam.

Setibanya di destinasi, kami disambut oleh Cikgu Jamaluddin dan seterusnya kami diserahkan kepadanya untuk menjaga kebajikan kami.

Pondok Hj Abas, Tok Jiring.

Setelah kami mengaji agama secara pondok atau konvensional secara asas di Madrasah Darul Ummah, Sg Rambai, Melaka, Madrasah Ar-Ribat, Parit Perupuk, Muar (Pondok Hj Mat Lip) dan MADUS, kami diminta untuk melanjutkan pelajaran dengan mengaji secara terus dengan Tok Guru Hj Abbas. Harapan orang tua kami ialah apabila telah telah mahir kelak dengan kitab-kitab Ulama Muktabar, kami akan pulang semula ke MADUS dan sama-sama membangunkannya.

Kalau berkesempatan nanti, aku akan cerita serba sedikit nostalgia sepanjang di MADUS dan Pondok Hj Abbas Tok Jiring. Tak ramai sahabat-sahabat lama aku yang dapat aku jejak kembali.

Latar Belakang

Tiga orang daripada 'kami berempat' telah mempunyai kerjaya yang hebat walaupun kami tidak dapat menunaikan impian awal iaitu membangunkan bersama-sama MADUS (telah dijadikan Sek. Men. Agama).

- Ustaz Nujaimi Muhammad kini sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, Bhg. Falak, Jabatan Mufti Negeri Johor.
- Ustaz Hisyam Ahbar kini Imam di Masjid Kajang selepas pulang daripada Al-Azhar.
- Ustaz Nurul Iman Ibrahim kini Pegawai Tadbir di Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM Serdang.

Tok Guru Hj Abbas

Manakala kisah Tok Guru kesayangan Tok Guru Haji Abbas adalah seperti berikut yang dipetik daripada wikipedia.




Lahir di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut hampir seabad yang lalu. Lebih mesra dengan panggilan To’ Guru Haji Abbas kerana kealiman yang diakui umum khususnya dalam bidang ilmu feqah yang merangkumi 4 mazhab iaitu Shafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.

Mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut. Kemudian ketika berusia 14 tahun beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Mekah selama 8 tahun. Dari Mekah beliau ke India menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al-Islamiah, Gujerat ketika berusia 22 tahun. Setelah pulang ke tanah air, 4 tahun kemudian beliau datang kembali ke Benua Kecil Hindi meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Dioband selama 1 tahun pada tahun 1938.

Berpegang kepada prinsip hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredhaan Allah. Ilmu wajib diperkembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya telah membuktikan prinsip itu dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya yang diberi nama Jamiah Diniah. Bersama beberapa orang Ulama’ yang lain beliau membuka sebuah pondok lain di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq, selepas itu di Kuala Besut beliau mengasaskan Darul Adib Al-Khursani.

Gerakan pendidikan dan dakwah tokoh ini tidak terhad di kawasan Besut sahaja, malah melewati sepadan Bukit Yong di Negeri Kelantan Darul Naim dengan membuka beberapa buah pondok mulai tahun 1945. Seterusnya dari Kelantan beliau berhijrah ke Kuala Terengganu mengasaskan pondok Tok Jiring yang terkenal itu pada tahun 1953 sehingga berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama sehingga kerajaan negeri mengambil alih pentadbirannya pada 1962 dan pada tahun 1976 Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf sebagai sebuah sekolah menengah agama yang termoden di Terengganu.

Keistimewaan Tuan Guru Haji Abbas juga terserlah melalui beberapa hasil karya ilmiah dalam bidang keagamaan. Atas segala bakti itu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman telah mengistiharkannya sebagai Tokoh Ulama’ dalam Majlis Sambutan Ma’al Hijrah tahun 1409. Pada 17 April 1989 DYMM Tuanku Al Sultan telah berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, (DPMT) kepadanya yang membawa gelaran Dato’ kepadanya.

Lanjutan daripada itu beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional.

Begitu juga dengan keterlibatan beliau dalam politik yang pernah dilantik sebagai senator selama 6 tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal tahun 60an.

Beliau mempunyai 15 orang anak. Salah seorang daripadanya meneruskan pendidikan pondok ialah Encik Abdul Aziz bin Haji Abbas. Pada 1 Julai 1997 beliau telah kembali ke rahmatullah.

Sunday, May 09, 2010

Hari Ini Hari Ibu?

Sehingga saat ini, baru AKU tahu hari sebenar Hari Ibu yang disambut di negara ini. Patutlah asyik berubah ajer tarikhnya pada setiap tahun. Sekarang AKU pasti bahawa tarikhnya ialah pada hari ini iaitu 9 Mei bagi tahun 2010 ini. Dalam bulan Mei sememangnya ada bermacam hari sambutan selain daripada hari-hari yang tujuh dalam seminggu tu. Bak lirik lagu P. Ramlee, "Ibu.. Ibu.. Engkaulah ratu hatiku. Bila ku berduka. Engkau hiburkan selalu." Tapi AKU tidak ghairah meraikannya.

Bondaku.. Hjh Rauzah Abdullah bersama ayahanda.


Terdapat banyak buah negara yang menyambut Hari Ibu selain daripada Bulan Mei. Manakala negara-negara yang menyambutnya dalam bulan Mei pula terbahagi kepada tiga (3) kategori iaitu setiap hari Ahad minggu pertama dalam bulan Mei, setiap hari Ahad minggu kedua dan setiap hari Ahad minggu terakhir.

Bonda kepada anak-anak AKU


Berikut adalah tarikh hari ibu bagi seluruh dunia:

9 MEI 2010 (Hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei) : MALAYSIA, Anguilla, Aruba, Australia, Austria, Bahamas, Bangladesh, Barbados, Belgium, Belize, Bermuda, Bonaire, Brazil, Brunei, Bulgaria, Canada, Chile, China, Colombia, Croatia, Cuba, Curaçao, Cyprus, Czech Republic, Denmark, Ecuador, Estonia, Finland, Germany, Ghana, Greece, Grenada, Honduras, Hong Kong, Iceland, India, Italy, Jamaica, Japan, Latvia, Malta, Myanmar, The Netherlands, New Zealand, Pakistan, Peru, Philippines, Puerto Rico, Singapore, Slovakia, South Africa, St. Lucia, Saint Vincent and the Grenadines, Suriname, Switzerland, Taiwan, Trinidad and Tobago, Turkey, Ukraine, United States, Uruguay, Venezuela, Zimbabwe.

01 MEI 2010 (Ahad pertama dalam bulan Mei) : Hungary, Lithuania, Portugal dan Spain.

29 MEI 2010 (Ahad terakhir dalam bulan Mei) : Algeria, Dominican Republic, France,Haiti, Mauritius, Morocco, Sweden dan Tunisia.

22 MAC 2010 (Hari Ahad minggu keempat bulan Mac) : negara Ireland, Nigeria, United Kingdom.

12 OGOS 2010 : negara Thailand yang juga merupakan tarikh lahir Queen Sirikit.

22 Disember 2010 di Indonesia.

Tarikh-tarikh lain boleh didapati di sini. http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Ibu


Sejarah Sambutan Hari Ibu
Hari Ibu disambut pada hari berbeza antara negara kerana berbagai-bagai asal-usulnya. Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom Purba juga menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.

sumber : topotato.com

p/s : Hari-hari adalah Hari Ibu. Hubungi, rindui, mendoakan, menggembirakan, mentaati tanpa mengira hari. SALAM HARI IBU.

Friday, April 30, 2010

Ke P094 Hulu Selangor jugak?

Kuarters baru Maktab Polis KKB

Pada 15 April lalu, AKU dipanggil untuk taklimat oleh pihak Cawangan Agama (BAKA) IPK Selangor untuk penugasan sempena Ops Undi P.094 Hulu Selangor. Hampir kebanyakan Cawangan Agama IPD seluruh negeri telah terlibat. Tugasnya ialah menghidupkan dan memimpin solat lima (5) waktu dan sewaktu dengannya di surau-surau Martek dan Subtek PDRM di sepanjang tempoh pilihanraya berlansung.

Giliran AKU ialah pada 17 & 18 April (Sabtu dan Ahad) lalu bersama Saiful Jamsyir juga daripada Cawangan Agama IPD Shah Alam. Pada hari Jumaat kira-kira jam 9.30 malam, AKU bertolak ke Ijok untuk bertemu dan berkumpul dengan Saiful. Seterusnya bergerak ke Kuala Kubu Baru melalui Bistari Jaya (Batang Berjuntai) dengan kereta yang berasingan.

Sekali tersalah jalan dan terus memasuki Tol PLUS Rawang. Kononnya ada jalan pintas ke KKB melalui Ijok. Memang sangat teruja bila melalui jalan Bistari Jaya - Rawang kerana mempunyai selekoh yang tajam dan merbahaya. KAMI pun memasuki Tol Rawang dan keluar di Tol Bukit Beruntung. Seterusnya menuju ke Maktab Polis Kuala Kubu Baru untuk bermalam. KAMI tiba kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Sesak.. jalan menuju ke arah pekan KKB

Pada pagi Sabtu keesokkan harinya dalam jam 9.30 pagi, hati AKU tergerak untuk mengambil kesempatan dan melihat sendiri suasana penamaan calon yang dianggarkan kira-kira 1km daripada tempat penginapan. Maka, berjalan kaki AKU meredah panas dan kesesakan manusia di tengah-tengah pekan Kuala Kubu Baru. Tapi perkiraan AKU silap kerana perarakan calon telah pun selesai. Tetapi perhimpunan masih diteruskan dengan diisi slot ceramah-ceramah dan gerai-gerai jualan.

Selesai pengumuman oleh Pengurus Pilihanraya tentang calon-calon yang layak bertanding sekitar jam 12.00 tengahari, AKU bersama segerombolan manusia yang merayakan demokrasi pun bersurai dan berjalan kaki semula untuk kembali ke penginapan daripada tengah-tengah pekan KKB. Memang sangat panas cuaca pada hari tersebut.

p/s teringat semasa AKU bertanding pilihanraya JPP di ITM Shah Alam tahun 1997 untuk kerusi Fakulti TMSK tetapi tidak menang.

Monday, April 12, 2010

Kursus Yang Panjang?

Musolla di ILIM Bangi

Memang panjang dan lama kursus yang AKU pergi ini. Mahu tidak mahu AKU kena pergi kerana ia melibatkan status jawatan yang masih di peringkat percubaan. Baru setahun AKU menyertai perkhidmatan kerajaan berjawatan tetap. Kursus yang terakhir yang AKU hadiri ialah Kursus Asas Perkhidmatan pada bulan Mei 2009 tahun lepas.

23 Mac 2010 (11.30 pagi) - Ceramah Induksi Umum, ILIM Bangi

Kursus yang AKU maksudkan ialah Kursus Induksi Umum pada 10-25 Mac 2010 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dan bersambung dengan Kursus Kenegaraan (BTN) pada 25-29 Mac 2010 di Kem Intan Suraya, Sungai Siput. Hampir tiga (3) minggu AKU tidak masuk pejabat. Namun semasa kursus di ILIM, AKU dapat pulang ke Shah Alam pada hujung minggu kerana tiada jadual kursus pada hari Sabtu dan Ahad.


Pengalaman yang paling penting ialah AKU dapat mengenal secara rapat dan mesra teman-teman dan rakan-rakan sejawat AKU daripada pelbagai organisasi walaupun daripada skim yang sama iaitu skim perkhidmatan Hal Ehwal Islam. Ada yang datang daripada Jabatan Penjara, Pusat Serenti (PUSPEN), ILIM, JAKIM, JAWI, Darul al-Quran dan Hospital serta Jabatan Polis.

29 Mac 2010 - Sejurus selepas peperikasan Kursus Kenegaraan.

Seramai 59 orang hadir untuk Kursus Induksi Umum dan seramai 80 orang hadir untuk Kursus Kenegaraan. Ramai yang menangguhkan Kursus Kenegaraan kerana bertindih dengan Peperiksaan Jabatan anjuran JAKIM pada 25 & 26 Mac 2010. Bukan senang nak dapat peluang hadir ke Kursus Kenegaraan, dan AKU pun terpaksa mengecualikan diri daripada menduduki peperiksaan tersebut.

Pengalaman AKU di ILIM, AKU tinggal sebilik dengan Ustaz Shahrizan daripada IPD Kajang. Para penceramah jemputan adalah berpengalaman. Aktiviti selepas Asar adalah aktiviti padang dan bebas. Perlawanan persahabatan dengan para peserta kursus induksi daripada Intan Tengah dalam acara bola sepak, bola tampar dan sepak takraw dilangsungkan pada 17 Mac 2010. Tiba-tiba sahaja AKU dilantik sebagai pengadil acara bola sepak, main belasah 'ajer' AKU tiup wisel.

29 Mac 2010 - saat berangkat pulang ke Shah Alam.

Di Sungai Siput pula, AKU tinggal dengan enam belas (16) orang lain berkongsi dalam 'dorm' Kris 9, berhawa dingin tapi bersesak sedikit. Kerjasama daripada Ketua Fasilitator, Cik Shafwati adalah baik termasuk daripada barisan jurulatih, Pak Pi'e, Pak Mail dan Pak Sham. Menu dan penyediaan makanan adalah amat baik dan sedap. Para fasilitator, para penceramah dan para peserta berjaya menghidupkan aktiviti dengan lancar dan memberikan kerjasama yang baik dalam setiap aktiviti. HIDUP JAKIM!


p/s tengah tunggu Kursus Induksi Khusus 'pulak'..

Thursday, April 01, 2010

April Fool?

Yang Biasa Kita Dengar


Sumber : mykhilafah.com

Perayaan April Fool yang selalu diakhiri dengan kegembiraan dan kepuasan itu sesungguhnya berasal dari satu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. The April's Fool Day berasal dari satu episod sejarah Muslim Sepanyol pada tahun 1487 atau bersamaan dengan 892 H. Sebelum mengungkap tragedi tersebut, ada baiknya kita melihat sejarah Sepanyol dahulu ketika masih di bawah kekuasaan Islam. [Baca Lebih Lanjut]


Yang Tak Biasa Kita Dengar

Sumber : Minda Rakyat.

Nasihat saya kepada semua yang ghairah untuk memaklumkan umat manusia tentang Islam, berhati-hatilah. Jikalau berhadapan dengan cerita-cerita seperti asal-usul April Fool ini, periksalah dulu, tanyalah mereka yang lebih mengetahui misalnya pakar sejarah dan ustaz-ustaz, supaya kita sendiri tidak menjadi April Fools, menjadi bahan ketawa masyarakat bukan Islam. Janganlah menjadi sumber penyebaran pembohongan dan fitnah.
[Baca Lebih Lanjut]

Wednesday, March 31, 2010

Menjejak Warisan Melayu

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my (2010/03/28)

Abdul Rashid (kiri) tekun memainkan kompang yang sudah lama ditinggalkan.(Berbaju merah = AKU)


PERJALANAN secara keseluruhan meliputi jarak sejauh 4,120 kilometer, bukan penjelajahan untuk berseronok tetapi memenuhi misi Jejak Warisan Melayu Jawi dari Semenanjung ke Ayutthaya, Thailand selama 10 hari, iaitu menjejaki masyarakat Melayu minoriti di Thailand yang kian terhakis budaya dan warisan mereka.

Dalam mencari semula susur galur masyarakat Melayu yang terpisah dengan Semenanjung Tanah Melayu selepas termeterainya Perjanjian Bangkok antara Thailand, British dan Tanah Melayu pada 1909, konvoi kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang disertai 22 anggota, termasuk wakil Berita Minggu bergerak merentasi sempadan menggunakan laluan darat. Ekspedisi yang melalui 14 bandar persinggahan bermula 12 hingga 21 Februari 2009 lalu memulakan perjalanan dari bandar Klang menuju bandar sempadan Bukit Kayu Hitam, seterusnya masuk ke Thailand melalui bandar kecil Danok.

Ujian tahap kesabaran terpaksa kami hadapi seawal hari pertama konvoi memulakan perjalanan sebaik memasuki bandar sempadan Danok apabila kenderaan konvoi menghadapi masalah untuk melepasi sempadan berikutan masalah dokumen kenderaan yang menyebabkan kami tersadai hampir 10 jam di Danok sebelum dapat meneruskan perjalanan ke destinasi pertama kami iaitu ke perkampungan Melayu di Pulau Koh Klang, Krabi kira-kira jam 6 petang.

Perjalanan mengambil masa hampir enam jam sebelum kami sampai di perkampungan Koh Klang dan disambut mesra penduduk dengan kenduri kampung ala Melayu Thai meskipun hari sudah lewat malam.

Peserta Konvoi, Saiful Anwar Yahya menunjukkan kehebatannya bersilat kepada penduduk Pulau Koh Klang.


Bersyukur dan bertuah dilahirkan di Malaysia selepas melihat nasib saudara serumpun dan seagama di negara lain

Sebaik menyelesaikan agenda di Pulau Koh Klang kami berangkat ke destinasi kedua menuju bandar Pang Nga untuk menaiki bot bagi menjejaki sekumpulan lagi masyarakat Melayu Thai yang terselamat daripada bencana tsunami pada 2004 di Pulau Panyee atau nama Melayunya Pulau Panji.

Tidak dapat dipastikan bagaimana perkataan 'panji' itu boleh wujud, tetapi menurut cerita masyarakat setempat, ia berasal daripada panji kebesaran kerajaan terdahulu yang ada kaitan dengan sejarah kesultanan pemerintah Siam Ayutthaya.

Gambaran yang boleh penulis berikan selepas menjejaki dua masyarakat Melayu minoriti di penempatan ini secara umumnya adalah sama, hidup agak terpinggir, jauh daripada pembangunan dan bertarung untuk hidup dalam memilih untuk mengekalkan identiti Melayu atau mengikut dasar dan ketetapan kerajaan demi kelangsungan hidup yang akhirnya menghakis sedikit demi sedikit budaya Melayu mereka.

Perjalanan kami diteruskan ke bandar Chumphon menuju Ayutthaya, bagaimanapun kami tersadai di tengah perjalanan selama beberapa jam berikutan kerosakan kecil kenderaan konvoi hingga menyebabkan kami terpaksa bermalam di bandar Prachuap Kiri Khan yang tidak tersenarai dalam senarai bandar persinggahan sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya.

Anak-anak tsunami di Ban Muang Kluang tekun mengikuti pengajian walaupun dalam keadaan serba daif.

Apabila bergerak dalam berkumpulan, interaksi radio amatur menjadi nadi utama dan kunci bagi memastikan pergerakan kami lancar dan tidak berdepan sebarang kesukaran besar. Malah ketika konvoi bergerak menuju Ayutthaya yang mengambil masa hampir lapan jam, kami sekali lagi diuji apabila gagal menemui kedai makanan Muslim hingga memaksa kami singgah di kedai serbaneka 24 jam membeli roti dan makanan ringan bagi mengalas perut.

Kami menjengah bandar bersejarah Ayutthaya sekitar jam 8 malam dalam keadaan perut berkeroncong, sebaik mendaftar masuk kami bergerak keluar mencari alas perut di sekitar bandar dengan menaiki `tut-tut' kenderaan paling popular di Thailand dan dibawa ke pusat penjaja Muslim di pinggir Ayutthaya. Istimewanya di sini pelancong beragama Islam mendapat diskaun harga makanan berbeza dengan harga yang dikenakan kepada pelancong asing.

Walaupun Ayutthaya menjadi destinasi puncak pencarian Bani Jawi, gelaran yang diberikan Majmak Melayu Jawi, kumpulan yang bertanggungjawab menganjurkan ekspedisi ini, pencarian bersambung kerana laluan pergi dan pulang mengikuti laluan berlainan.

Apapun, pengalaman menjejaki saudara seagama dan serumpun ini walaupun dalam suasana santai dan penuh kemesraan cukup menginsafkan. Cara hidup, budaya, dan kepercayaan mungkin sama, tetapi jati diri dan identiti serta perjuangan mereka untuk hidup sangat berbeza dan cukup mengharukan menyebabkan penulis berasa cukup bertuah dan bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia yang tercinta.

Kumpulan penduduk membuat persembahan seni silat.

Bahasa Melayu semakin lenyap

BENCANA tsunami, meskipun sudah hampir lima tahun berlalu tetapi meninggalkan kesan yang cukup besar dan mendalam terhadap Ramlah Din, 53, seorang daripada masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan penempatan minoriti Melayu di Ban Muang Kluang yang terletak di wilayah Ranong, Thailand.

Walaupun tidak mengalami kesan yang cukup memeritkan akibat kematian sanak saudara yang terkorban dalam tragedi itu, namun tsunami banyak merubah landskap kehidupan dan menjadikan kehidupan yang dilalui kini tidak lagi seperti dulu.

"Dulu masyarakat di sini dilimpahi dengan kemakmuran melalui hasil pertanian dan tangkapan ikan yang boleh dikatakan cukup menampung kehidupan kami seharian.

"Namun selepas tsunami, keadaan kampung ini seperti `padang jarak padang terkukur' dan hasil pencarian semakin lama semakin kurang," katanya yang masih fasih bertutur dalam bahasa Melayu dalam dialek Kedah kerana sering berulang alik menjenguk saudara mara yang masih ramai menetap di Malaysia.

Jelasnya, kesan tsunami benar-benar menghimpit penghidupan penduduk di perkampungan itu kerana ombak besar setinggi bukit yang memusnahkan kawasan itu turut memusnahkan jelapang padi seluas ratusan hektar yang menjadi mata pencarian utama penduduk di kawasan itu selain hasil laut.

"Selepas tsunami, ikan semakin berkurangan dan nelayan di kawasan ini turut berasa tempiasnya kerana hasil tangkapan menjunam daripada sekitar 2,000 Baht (RM200) sehari kepada hanya kira-kira 200 hingga 300 Baht (RM20 hingga RM30) sehari. Kadang-kadang duit minyak pun tak lepas.

"Ramai anak-anak yang terpaksa berhenti sekolah dan terpaksa turun ke laut membantu keluarga bagi memastikan kami sekeluarga dapat terus makan tetapi yang lebih kami kasihan ialah anak-anak yatim yang kematian ibu bapa ketika tsunami," katanya tenang.

Ban Muang Kluang yang terletak mengadap Laut Andaman dihuni kira-kira 4,000 penduduk yang 100 peratus Melayu Islam. Sepanjang perjalanan Kembara Jejak Warisan Jawi anjuran Majmak Warisan Jawi, penulis turut dapat merasai kesusahan dan kepayahan yang dihadapi penduduk di sini yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan tsunami meskipun tragedi itu sudah lima tahun berlalu.

Menceritakan kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 itu, Ramlah berkata, meskipun ratusan nyawa penduduk kampung terkorban terutama yang tinggal berhampiran laut, namun atas kuasa Tuhan, dua masjid yang ada di kawasan itu hanya terjejas sedikit.

Bagaimanapun sekolah agama yang menyediakan kelas al-Quran dan fardu Ain kepada pelajar Melayu yang ada di perkampungan itu musnah dan sudah dibina semula.


Masjid yang tidak terjejas akibat tsunami di Ban Muang Kluang.

Kembara kami singgah di perkampungan minoriti Melayu itu sebagai tempat penginapan melalui penginapan homestay yang disediakan, namun layanan yang diberikan masih mengekalkan tradisi Melayu, cuma kekangan bahasa yang sedikit membataskan aktiviti kami.

Ketika kami mengadakan persembahan kebudayaan Melayu dengan iringan paluan kompang, persembahan silat serta marhaban, wajah kegembiraan jelas terpancar. Mungkin seronok melihat adat resam sendiri yang sudah lama mereka tinggalkan kerana lama terpisah daripada budaya bangsa.

Dalam pada asyik kompang dipalu, kelihatan wajah sayu Abdul Rasyid Ibrahim, 85, memerhatikan persembahan kami dengan pandangan yang cukup dalam.

Ketika ditanya, Abdul Rasyid yang berasal dari Kedah dan sudah hampir 40 tahun menetap di perkampungan itu mengakui kerinduannya terhadap seni warisan Melayu tidak dapat digambarkan.

Dia yang masih fasih berbahasa Melayu dalam dialek Kedah turut menceritakan pengalaman dan keperitan kehidupan masyarakat Melayu di Thailand yang terpaksa memilih antara dua sama ada untuk mengekalkan identiti dan tradisi Melayu Islam atau akur dengan semangat kebangsaan bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan.

"Hidup kat sini bukannya senang anak. Bahasa Melayu pun ramai yang sudah tak reti nak cakap. Di kampung ini saja walaupun namanya kampung Melayu tapi mereka tak pandai bercakap Melayu sebab kebanyakan yang pandai banyak yang sudah meninggal dunia.

"Tok pun rasa sedih tapi Tok tak boleh nak buat apa. Yang mana ada rasa minat nak belajar Tok ajar," katanya ringkas.

Pautan :

p/s Berita Minggu (Sisipan BM2) – 28 Mac 2010

Monday, March 15, 2010

AGM PIBG Pertama?

6 Feb 2010 - Pertama kalinya AKU hadir ke suatu Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-17 sebagai seorang ayah di Dewan Sekolah, Sekolah Kebangsaan Seksyen 18 Shah Alam. Anak AKU yang sulung dah pun memasuki Darjah 2 Bijaksana pada tahun ini. Tahun lepas AKU tak pergi kerana ada kuliah di Bangi.
9.45 am - ucapan Guru Besar Sek Keb Seksyen 18 Shah Alam

Selepas mendaftar dalam jam 9.15 pagi, AKU tercari-cari kenalan yang mungkin buat teman di sepanjang AGM. Terserempak juga AKU dengan Abg Mustakim, kenalan semasa bekerja di MBSA. Rupanya anak Abg Kim terlibat dengan persembahan selingan iaitu nasyid selepas acara perasmian nanti. Tetapi selepas ajer persembahan tu nanti, Abg Kim nak balik dengan anaknya kerana katanya ada urusan kerja di MBSA yang perlu diteruskan.
Abg Mustakim sedang khusuk

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-17 Sek Keb Seksyen 18 Shah Alam ini dirasmikan oleh Encik Mohd Hazlib Hassan, Ketua Unit Sains Sosial, Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana mewakili Pegawai PPD Petaling Perdana pada jam 10.18 pagi. Sebelum itu, ucapan aluan adalah daripada Puan Anis Ibrahim, Guru Besar Sek Keb Seksyen 18 Shah Alam yang menyentuh tentang prestasi para pelajar, kenaikan yuran PIBG dan masalah-masalah lain yang berbangkit melalui aduan para ibubapa.

Alamak! Tinggal ler aku keseorangan. Toleh kanan, toleh kiri, takda siapa pun yang aku kenal nak ajak bersembang. Dalam jam 10.45 pagi, AKU pun angkat punggung balik ke rumah tanpa menunggu mesyuarat bermula. Rumah sebelah sekolah ajer.


p/s - sepatutnya tunggu sampai habis ...

Tuesday, February 23, 2010

Ruhi Hayat atau Ruzy Hazat?

Nama ini memang ada persamaan dengan nama AKU. Tidak pasti samada nama ini diambil oleh ayahanda AKU untuk menamakan aku dengan mengubahsuai sedikit ejaan, aku masih tidak pasti. Ayahanda AKU masih berahsia tentang sejarah nama AKU atau nama-nama orang lain (orang yang mempunyai tokoh) yang diambil untuk menamakan AKU. Sedang AKU melayari internet, AKU terjumpa nama ini yang AKU rasa ianya menarik dan ada kaitan dengan nama AKU.

Ruhi Hayat adalah nama pena kepada Ahmad Boestamam seorang aktivis politik dan penulis di zaman menentang penjajah Inggeris 1940 hingga 1957. Beliau menggunakan nama Ruhi Hayat untuk cerpen dan sajaknya yang disiarkan di akhbar Utusan Zaman semasa beliau dalam tahanan di Khemah Tahanan Ipoh pada awal 1950an. Dengan menggunakan nama samaran ini beliau menulis cerpen dan mendapat imbuhan $5 bagi setiap cerpen sedangkan pihak berkuasa British tidak mengetahuinya.

Karya beliau diseludupkan keluar dengan bantuan seorang warder penjara yang bersimpati dengannya. Pembayaran dibuat dengan wang kiriman yang dihantar oleh salah seorang sidang pengarang Utusan Zaman ketika itu, Usman Awang. Usman Awang hanya menuliskan nota "Bersama-sama ini disertakan wang untuk keperluan saudara membeli rokok" dan mengirimkannya ke Penjara Ipoh. Pihak penguasa penjara tidak mengesyaki apa-apa dan mengkreditkan ke dalam simpanan Ahmad Boestaman. Satu lagi nama samaran yang digunakan oleh Ahmad Boestamam ialah Jiwalara. [1]

Abdullah Sani Raja Kechil dilahirkan pada 30 November 1920 dan meninggal dunia pada 1983. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Beliau pernah mendapat pendidikan di Anderson School Ipoh, Perak. Nama Ahmad Boestamam diilhamkan daripada nama Subhas Chandra Bose, pemimpin Liga Kemerdekaan India.

Nama itu, bahkan lebih kuat daripada nama asalnya, atau Ruhi Hayat yang juga muncul dalam karya-karyanya yang awal. Tertarik dengan gaya Chandra Bose, Boestamam kemudiannya menyusun barisan pemuda Malaya di dalam Angkatan Pemuda Insaf (API). Kekentalan semangat yang ditiup oleh Subhas Chandra Bose turut membakar jiwa Ruhi Hayat sehingga beliau sanggup mengabadikan nama popularnya sebagai Boestamam. [2]

Antara karya tulis beliau dengan nama pena 'Ruhi Hayat' ialah ;

Dendang dari neraka / Ruhi Hayat ; dengan kata penghantar oleh S.Husin Ali Kuala Lumpur : Penerbitan Gelora, 1967

Konfrontasi / oleh Ruhi Hayat, Melaka : Toko Buku Abbas Bandung, 1967

Budi baik di-kenang orang / oleh Ruhi Hayat, Kluang : Pustaka Pendidikan, 1968

Kembang Di Taman Layu Di Tangan / oleh Ruhi Hayat, Melaka : Toko Buku Abbas Bandong , 1966

Api dan Ayer Mata / Ruhi Hayat ; Kuala Lumpur : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1975

p/s Ruhi Hayat = Rohku Yang Hidup

Wednesday, February 10, 2010

Nak Jadi Blogger?

Layan 'games' lagi mudah

Bukan susah nak susah dan bukan senang nak senang.. pepatah biasa yang kita dengar. Untuk jadi 'blogger' sebenarnya bukan susah pun. Daftar akaun di blogger.com atau wordpress.com dan buat satu 'post' serta 'publish'kan dah boleh dikira sebagai 'blogger'. Tapi dikira sebagai tahap 'beginner' lah tu.

Sebagai seorang 'blogger', kita mesti bertanggungjawab dengan apa yang ditulis walaupun sekadar kisah fantasia atau himpunan cerita dongeng sekali pun. Kemudian, memilih tema yang sesuai dengan memberi tajuk dan perihal blog yang dicipta. Tema politik, keluarga, e-majalah, berita, buletin kumpulan dan lain-lain.

Apa itu blog? apa agaknya, mungkin sebuah jurnal yang boleh dikongsi secara maya di mana penulis boleh menulis tentang sebarang perihal termasuk hobi, pengalaman, sukan dan sebagainya. Dalam blog ini AKU memilih tema hal kekeluargaan KAMI yang mungkin terselit tulisan-tulisan yang di luar tema. Nak menulis bukannya susah tapi bab mengarang yang susahnya pasal nak kena perah idea, semak bahasa, tulisan yang mudah difahami dan mesti rajin. Kalau setakat mengadap PC untuk bermain 'games' tu, memang antara minat utama AKU.

'Posting' pertama aku di dalam penulis blog di dalam blogspot ini ialah pada 7 Nov 2006 jam 12.04pm di
Blog Buletin Cekak Selangor yang mana AKU sebagai pengasas atau 'admin'nya pada ketika itu. Tapi untuk mencipta blog sendiri, memang memakan masa memandangkan belum jumpa tema yang sesuai sehinggalah terciptanya blog ini.

p/s : jadilah blogger yang baik walaupun bukan yang terbaik.

Wednesday, February 03, 2010

Angkara Siapa?

Ibu sedang menyuapkan air ke mulut Iqa.
Suatu petang pada 30 Jan 2010, AKU sekeluarga berlima minum petang di Restoran Khalifah Seksyen 3 Shah Alam untuk 'pekena' roti canai selepas ronda-ronda sebab tak tahu nak ke mana. Memang mati akal kalau nak ronda-ronda di Shah Alam dengan keluarga. Dah semak laman web kalau-kalau ada aktiviti yang menarik di kawasan sekitar. Cuma satu iaitu Pesta Buku MPH di Stadium Melawati tapi tak sempat sebab info tersebut AKU dapat lewat.

Kena balik awal sebelum Maghrib sebab malam ini AKU ada program di Wangsa Melawati. Tapi AKU nak pegi dengan siapa ? Nak mengadap KL sorang-sorang memang memalaskan kerana info tentang program tersebut masih samar-samar tentang pengisian dan para pesertanya.

Dalam jam 6.30 petang, KAMI selesai minum petang dan keluar menuju ke kenderaan KAMI. Wah! Siapa punya angkara ini? Isteri AKU yang perasan dulu. Puas AKU memikirkan angkara siapa dan bila ia berlaku. Lampu belakang sebelah kiri sudah pecah. Duit lagi nak kena keluar. Sampai di rumah iaitu tempat letak kereta, tiada kesan-kesan serpihan cermin lampu. Nak buat macam mana, kena ganti sendiri lah ...!

Cermin lampu yang pecah.

Thursday, January 07, 2010

Lega ?

Jam 11 pagi tadi aku sampai di Fakulti Pengajian Islam UKM untuk bertemu dengan penyelia projek akhir atau kajian ilmiah di biliknya untuk menyerahkan semua tugasan yang telah disemak dan dipinda beberapa kali dan telah dijilid dalam bentuk 'hard cover'. Perjalanan menaiki motosikal Ego-S daripada Shah Alam mengambil masa dalam 45 minit. Hujan rintik-rintik di Puchong tapi aku redah semacam jer. Cuaca redup dan kenderaan besar yang banyak mengiringi perjalanan aku.

Ambil borang penyerahan projek di kaunter Jabatan Syariah di mana satu salinan borang dan laporan kajian diserahkan kepada penyelia dan satu salinan dan laoran kajian lagi diserahkan di kaunter fakulti pengajian Islam di tingkat 1. Penyelia yang aku maksudkan di sini ialah Ustaz Nik Abd Rahim daripada Jabatan Syariah. Kengkawan aku yang berkongsi penyelia ialah 'Adlan Jaafar (Imam Masjid Jamek 2 Muar), Zainal Fitri Ahmad (Pendidikan JAIJ) dan Rais Taib (Guru Sek Keb Sg Abong di Muar). Rasanya aku orang yang pertama agaknya di kalangan empat orang ini walaupun tarikh akhir sebenar untuk menghantar projek ilmiah ini ialah pada 20 Disember 2009.

Semenjak beberapa minggu atau lebih sebulan aku bertungkus-lumus untuk menyiapkan projek ilmiah ini sampaikan tak cukup tidur dibuatnya. Paling selesa untuk memulakan penulisan projek ilmiah ni semestinya selepas jam 12 tengah malam pasal anak-anak aku dah masuk tidur masa tu. Memang silap aku sebenarnya kerana tidak memulakan kajian atau projek ilmiah ini terlebih awal di mana sepatutnya boleh memulakannya mulai hujung Ogos 2009.

Tapi aku belum boleh melompat atau terbang keriangan pasal masih ada satu subjek lagi yang belum menduduki peperiksaan akhir. Pada peperiksaan akhir semester pada bulan Ogos 2009, aku tak dibenarkan mengambil peperiksaan satu daripada dua subjek (semester pendek) dengan alasan jumlah pertemuan dengan pensyarah tidak melayakkan aku masuk dewan peperiksaan. Dengan rasminya, apabila keluar keputusan peperiksaan maka 'E' yang aku dapat untuk subjek ini. Kecewa menonggeng.. punyalah susah main 'maintain' atas CGPA 3.0 tetiba menjunam CGPA aku.

p/s tak sabar nak tunggu konvokesyen pada bulan Ogos 2010 nanti.



Friday, January 01, 2010

Salam 2010


Di pagi-pagi buta ini, aku nak amik kesempatan untuk mengucapkan Salam Tahun Baru 2010 dalam menghadapai 365 hari yang mendatang. Tahun 2009 yang telah melabuhkan tirainya meninggalkan terlalu banyak kenangan sama ada baik atau buruk, manis atau masam-masam manis dan rutin harian kerja atau keluarga.

Usia pun secara tak langsung telah meningkat, uban mula menampakkan diri di rambut dan kematangan diri semakin masak. Ketika ini langit di luar dikatakan sedang gerhana bulan, namun bila aku jengah di luar rumah masih tak pasti kerana langit mendung mungkin kerana dek asap bunga api dan mercun yang memenuhi ruang angkasa jam 12.00 malam tadi.

Apa kenangan 2009, ya ? Pada 1 April 2009, aku bertukar kerja baru dengan status baru iaitu jawatan tetap 'gomen' dan gred jawatan S27. Sebelum tu, aku kerja kat MBSA selama 8 tahun pun hanya dengan jawatan kontrak memanjang dan jawatan pada masa tu Pembantu Penilaian W17. Kerja apa sekarang tu ? Kerja di bawah skim JAKIM tapi jawatan aku telah di'kader'kan dalam Gred S27 di PDRM melalui Bahagian Agama & Kaunseling (BAKA) PDRM di IPD Daerah Shah Alam.

Selain tu, kenangan 2009 yang boleh dikongsi ialah kenangan meninggalkan UKM pada hujung 2009 kerana secara rasminya aku dah habis dengan Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Syariah) secara separuh masa. Tetapi yang tak rasminya masih belum habis kerana masih belum siap @ menghantar projek akhir dan masih ada satu subjek lagi yang belum menduduki peperiksaan akhir semester.
Cabaran menghabiskan pengajian memang mengujakan kerana waktu hujung minggu Sabtu dan Ahad selama empat tahun, aku asyik berulang-alik ke Bangi. Walaupun 'post' awal dan terakhir aku pada 20 April 2008, mudah-mudahan tahun 2010 ini akan membuatkan aku rajin menulis dalam blog sendiri di samping berkongsi-kongsi pengalaman. Bukan senang untuk menulis blog, silap haribulan boleh kena saman lah.. kena kutuk lah.. tapi blog ini aku tulis untuk kisah keluarga aku saja.

Aku harapkan dengan kehadiran tahun 2010 dan tahun 1431H ini dapat menzahirkan banyak peluang untuk aku terus membina hidup yang lebih bahagia dan selamat di dunia dan akhirat. Ya lah! Anak-anak semakin membesar maka kerak periuk pun jadi besar juga.

p/s Buat kengkawan, guru-guru dan keluarga ; Salam 2010 dan Salam Ingatan Penuh Mesra.

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys