Wednesday, March 31, 2010

Menjejak Warisan Melayu

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my (2010/03/28)

Abdul Rashid (kiri) tekun memainkan kompang yang sudah lama ditinggalkan.(Berbaju merah = AKU)


PERJALANAN secara keseluruhan meliputi jarak sejauh 4,120 kilometer, bukan penjelajahan untuk berseronok tetapi memenuhi misi Jejak Warisan Melayu Jawi dari Semenanjung ke Ayutthaya, Thailand selama 10 hari, iaitu menjejaki masyarakat Melayu minoriti di Thailand yang kian terhakis budaya dan warisan mereka.

Dalam mencari semula susur galur masyarakat Melayu yang terpisah dengan Semenanjung Tanah Melayu selepas termeterainya Perjanjian Bangkok antara Thailand, British dan Tanah Melayu pada 1909, konvoi kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang disertai 22 anggota, termasuk wakil Berita Minggu bergerak merentasi sempadan menggunakan laluan darat. Ekspedisi yang melalui 14 bandar persinggahan bermula 12 hingga 21 Februari 2009 lalu memulakan perjalanan dari bandar Klang menuju bandar sempadan Bukit Kayu Hitam, seterusnya masuk ke Thailand melalui bandar kecil Danok.

Ujian tahap kesabaran terpaksa kami hadapi seawal hari pertama konvoi memulakan perjalanan sebaik memasuki bandar sempadan Danok apabila kenderaan konvoi menghadapi masalah untuk melepasi sempadan berikutan masalah dokumen kenderaan yang menyebabkan kami tersadai hampir 10 jam di Danok sebelum dapat meneruskan perjalanan ke destinasi pertama kami iaitu ke perkampungan Melayu di Pulau Koh Klang, Krabi kira-kira jam 6 petang.

Perjalanan mengambil masa hampir enam jam sebelum kami sampai di perkampungan Koh Klang dan disambut mesra penduduk dengan kenduri kampung ala Melayu Thai meskipun hari sudah lewat malam.

Peserta Konvoi, Saiful Anwar Yahya menunjukkan kehebatannya bersilat kepada penduduk Pulau Koh Klang.


Bersyukur dan bertuah dilahirkan di Malaysia selepas melihat nasib saudara serumpun dan seagama di negara lain

Sebaik menyelesaikan agenda di Pulau Koh Klang kami berangkat ke destinasi kedua menuju bandar Pang Nga untuk menaiki bot bagi menjejaki sekumpulan lagi masyarakat Melayu Thai yang terselamat daripada bencana tsunami pada 2004 di Pulau Panyee atau nama Melayunya Pulau Panji.

Tidak dapat dipastikan bagaimana perkataan 'panji' itu boleh wujud, tetapi menurut cerita masyarakat setempat, ia berasal daripada panji kebesaran kerajaan terdahulu yang ada kaitan dengan sejarah kesultanan pemerintah Siam Ayutthaya.

Gambaran yang boleh penulis berikan selepas menjejaki dua masyarakat Melayu minoriti di penempatan ini secara umumnya adalah sama, hidup agak terpinggir, jauh daripada pembangunan dan bertarung untuk hidup dalam memilih untuk mengekalkan identiti Melayu atau mengikut dasar dan ketetapan kerajaan demi kelangsungan hidup yang akhirnya menghakis sedikit demi sedikit budaya Melayu mereka.

Perjalanan kami diteruskan ke bandar Chumphon menuju Ayutthaya, bagaimanapun kami tersadai di tengah perjalanan selama beberapa jam berikutan kerosakan kecil kenderaan konvoi hingga menyebabkan kami terpaksa bermalam di bandar Prachuap Kiri Khan yang tidak tersenarai dalam senarai bandar persinggahan sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya.

Anak-anak tsunami di Ban Muang Kluang tekun mengikuti pengajian walaupun dalam keadaan serba daif.

Apabila bergerak dalam berkumpulan, interaksi radio amatur menjadi nadi utama dan kunci bagi memastikan pergerakan kami lancar dan tidak berdepan sebarang kesukaran besar. Malah ketika konvoi bergerak menuju Ayutthaya yang mengambil masa hampir lapan jam, kami sekali lagi diuji apabila gagal menemui kedai makanan Muslim hingga memaksa kami singgah di kedai serbaneka 24 jam membeli roti dan makanan ringan bagi mengalas perut.

Kami menjengah bandar bersejarah Ayutthaya sekitar jam 8 malam dalam keadaan perut berkeroncong, sebaik mendaftar masuk kami bergerak keluar mencari alas perut di sekitar bandar dengan menaiki `tut-tut' kenderaan paling popular di Thailand dan dibawa ke pusat penjaja Muslim di pinggir Ayutthaya. Istimewanya di sini pelancong beragama Islam mendapat diskaun harga makanan berbeza dengan harga yang dikenakan kepada pelancong asing.

Walaupun Ayutthaya menjadi destinasi puncak pencarian Bani Jawi, gelaran yang diberikan Majmak Melayu Jawi, kumpulan yang bertanggungjawab menganjurkan ekspedisi ini, pencarian bersambung kerana laluan pergi dan pulang mengikuti laluan berlainan.

Apapun, pengalaman menjejaki saudara seagama dan serumpun ini walaupun dalam suasana santai dan penuh kemesraan cukup menginsafkan. Cara hidup, budaya, dan kepercayaan mungkin sama, tetapi jati diri dan identiti serta perjuangan mereka untuk hidup sangat berbeza dan cukup mengharukan menyebabkan penulis berasa cukup bertuah dan bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia yang tercinta.

Kumpulan penduduk membuat persembahan seni silat.

Bahasa Melayu semakin lenyap

BENCANA tsunami, meskipun sudah hampir lima tahun berlalu tetapi meninggalkan kesan yang cukup besar dan mendalam terhadap Ramlah Din, 53, seorang daripada masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan penempatan minoriti Melayu di Ban Muang Kluang yang terletak di wilayah Ranong, Thailand.

Walaupun tidak mengalami kesan yang cukup memeritkan akibat kematian sanak saudara yang terkorban dalam tragedi itu, namun tsunami banyak merubah landskap kehidupan dan menjadikan kehidupan yang dilalui kini tidak lagi seperti dulu.

"Dulu masyarakat di sini dilimpahi dengan kemakmuran melalui hasil pertanian dan tangkapan ikan yang boleh dikatakan cukup menampung kehidupan kami seharian.

"Namun selepas tsunami, keadaan kampung ini seperti `padang jarak padang terkukur' dan hasil pencarian semakin lama semakin kurang," katanya yang masih fasih bertutur dalam bahasa Melayu dalam dialek Kedah kerana sering berulang alik menjenguk saudara mara yang masih ramai menetap di Malaysia.

Jelasnya, kesan tsunami benar-benar menghimpit penghidupan penduduk di perkampungan itu kerana ombak besar setinggi bukit yang memusnahkan kawasan itu turut memusnahkan jelapang padi seluas ratusan hektar yang menjadi mata pencarian utama penduduk di kawasan itu selain hasil laut.

"Selepas tsunami, ikan semakin berkurangan dan nelayan di kawasan ini turut berasa tempiasnya kerana hasil tangkapan menjunam daripada sekitar 2,000 Baht (RM200) sehari kepada hanya kira-kira 200 hingga 300 Baht (RM20 hingga RM30) sehari. Kadang-kadang duit minyak pun tak lepas.

"Ramai anak-anak yang terpaksa berhenti sekolah dan terpaksa turun ke laut membantu keluarga bagi memastikan kami sekeluarga dapat terus makan tetapi yang lebih kami kasihan ialah anak-anak yatim yang kematian ibu bapa ketika tsunami," katanya tenang.

Ban Muang Kluang yang terletak mengadap Laut Andaman dihuni kira-kira 4,000 penduduk yang 100 peratus Melayu Islam. Sepanjang perjalanan Kembara Jejak Warisan Jawi anjuran Majmak Warisan Jawi, penulis turut dapat merasai kesusahan dan kepayahan yang dihadapi penduduk di sini yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan tsunami meskipun tragedi itu sudah lima tahun berlalu.

Menceritakan kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 itu, Ramlah berkata, meskipun ratusan nyawa penduduk kampung terkorban terutama yang tinggal berhampiran laut, namun atas kuasa Tuhan, dua masjid yang ada di kawasan itu hanya terjejas sedikit.

Bagaimanapun sekolah agama yang menyediakan kelas al-Quran dan fardu Ain kepada pelajar Melayu yang ada di perkampungan itu musnah dan sudah dibina semula.


Masjid yang tidak terjejas akibat tsunami di Ban Muang Kluang.

Kembara kami singgah di perkampungan minoriti Melayu itu sebagai tempat penginapan melalui penginapan homestay yang disediakan, namun layanan yang diberikan masih mengekalkan tradisi Melayu, cuma kekangan bahasa yang sedikit membataskan aktiviti kami.

Ketika kami mengadakan persembahan kebudayaan Melayu dengan iringan paluan kompang, persembahan silat serta marhaban, wajah kegembiraan jelas terpancar. Mungkin seronok melihat adat resam sendiri yang sudah lama mereka tinggalkan kerana lama terpisah daripada budaya bangsa.

Dalam pada asyik kompang dipalu, kelihatan wajah sayu Abdul Rasyid Ibrahim, 85, memerhatikan persembahan kami dengan pandangan yang cukup dalam.

Ketika ditanya, Abdul Rasyid yang berasal dari Kedah dan sudah hampir 40 tahun menetap di perkampungan itu mengakui kerinduannya terhadap seni warisan Melayu tidak dapat digambarkan.

Dia yang masih fasih berbahasa Melayu dalam dialek Kedah turut menceritakan pengalaman dan keperitan kehidupan masyarakat Melayu di Thailand yang terpaksa memilih antara dua sama ada untuk mengekalkan identiti dan tradisi Melayu Islam atau akur dengan semangat kebangsaan bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan.

"Hidup kat sini bukannya senang anak. Bahasa Melayu pun ramai yang sudah tak reti nak cakap. Di kampung ini saja walaupun namanya kampung Melayu tapi mereka tak pandai bercakap Melayu sebab kebanyakan yang pandai banyak yang sudah meninggal dunia.

"Tok pun rasa sedih tapi Tok tak boleh nak buat apa. Yang mana ada rasa minat nak belajar Tok ajar," katanya ringkas.

Pautan :

p/s Berita Minggu (Sisipan BM2) – 28 Mac 2010

Monday, March 15, 2010

AGM PIBG Pertama?

6 Feb 2010 - Pertama kalinya AKU hadir ke suatu Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-17 sebagai seorang ayah di Dewan Sekolah, Sekolah Kebangsaan Seksyen 18 Shah Alam. Anak AKU yang sulung dah pun memasuki Darjah 2 Bijaksana pada tahun ini. Tahun lepas AKU tak pergi kerana ada kuliah di Bangi.
9.45 am - ucapan Guru Besar Sek Keb Seksyen 18 Shah Alam

Selepas mendaftar dalam jam 9.15 pagi, AKU tercari-cari kenalan yang mungkin buat teman di sepanjang AGM. Terserempak juga AKU dengan Abg Mustakim, kenalan semasa bekerja di MBSA. Rupanya anak Abg Kim terlibat dengan persembahan selingan iaitu nasyid selepas acara perasmian nanti. Tetapi selepas ajer persembahan tu nanti, Abg Kim nak balik dengan anaknya kerana katanya ada urusan kerja di MBSA yang perlu diteruskan.
Abg Mustakim sedang khusuk

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-17 Sek Keb Seksyen 18 Shah Alam ini dirasmikan oleh Encik Mohd Hazlib Hassan, Ketua Unit Sains Sosial, Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana mewakili Pegawai PPD Petaling Perdana pada jam 10.18 pagi. Sebelum itu, ucapan aluan adalah daripada Puan Anis Ibrahim, Guru Besar Sek Keb Seksyen 18 Shah Alam yang menyentuh tentang prestasi para pelajar, kenaikan yuran PIBG dan masalah-masalah lain yang berbangkit melalui aduan para ibubapa.

Alamak! Tinggal ler aku keseorangan. Toleh kanan, toleh kiri, takda siapa pun yang aku kenal nak ajak bersembang. Dalam jam 10.45 pagi, AKU pun angkat punggung balik ke rumah tanpa menunggu mesyuarat bermula. Rumah sebelah sekolah ajer.


p/s - sepatutnya tunggu sampai habis ...

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys