Saturday, May 21, 2011

JWJ2 : Debaran Kian Terasa

Hanya tinggal tidak sampai 6 hari lagi, maka Ekspidisi Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) ini akan memulakan langkah pertama dalam mengharungi perjalanan darat sejauh hampir 14,000 km yang melibatkan 7 Negara.

Aku yang ditugaskan sebagai Ketua Kumpulan Kompang untuk projek JWJ2 akan mengadakan persembahan kebudayaan di beberapa tempat dan kampung yang bakal dilawati. Walau pun sesi latihan kompang kurang berjalan lancar, harapnya persembahannya nanti tidak akan mengecewakan.

Khabar tentang projek ini sudah semakin tersebar dan akhirnya telah diangkat sebagai suatu program kementerian (KPKK) dan mendapat rakan media rasmi tujuan promosi dan membuat liputan sepanjang perjalanan kami nanti.

Berikut adalah rakaman wawancara Radio 93.9 fm (Bernama Radio) dengan Penasihat dan Pengarah Projek JWJ2 pada 20.50.2011, 8.30 pagi.





Monday, May 16, 2011

JWJ : Kembara 7 Negara JWJ2

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


Mafhum Firman Allah Taala : "Oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut - mereka menjadi orang-orang Yang ada hati Yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga Yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan Yang sebenarnya bukanlah mata kepala Yang buta, tetapi Yang buta itu ialah mata hati Yang ada di Dalam dada." (Al-Hajj 22:46)


Barisan anggota ekspedisi JWJ2 yang akan menjelajah ke tujuh buah negara bagi misi menyusur warisan budaya Melayu dan Islam yang akan bermula pada 25 Mei hingga 14 Jun ini.
Aku (lima daripada kiri/bersongkok) dalam gambar ketika di Stong Resort, Dabong dalam Pra-JWJ2 pada April 2011 baru-baru ini.

AYAT di atas adalah bukti Allah amat menggalakkan hamba-Nya mengembara ke seluruh pelosok bumi supaya dengan cara tersebut ia boleh meningkatkan ketakwaan dan keimanan terhadap Allah Maha Esa.
Melalui pengembaraan, umat Islam bukan sahaja dapat melihat tanda-tanda kekuasaan Allah malah memperoleh pelbagai pengajaran di sepanjang destinasi yang dituju.

Sejarah pengembaraan umat Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW apabila buat pertama kalinya berlaku hijrah ke Habsyah diketuai sahabat Rasulullah, Jaafar Abu Talib setelah umat Islam ditindas begitu hebat ketika berada di kota suci Mekah.

Malah sebelum diangkat sebagai rasul dan nabi, Nabi Muhammad SAW pernah dibawa mengembara oleh bapa saudaranya, Abu Talib hingga ke Syam untuk berniaga.

Sementara itu, peristiwa hijrah Rasulullah, para sahabat termasuk wanita dan kanak-kanak dari Mekah ke Madinah boleh disifatkan sebagai sejarah pengembaraan Islam yang begitu hebat apabila terpaksa berhadapan dengan kekangan serta halangan kaum kafir Quraisy di Mekah.

Namun, atas izin Allah dan atas kehendak-Nya jua hijrah tersebut berjaya disempurnakan dan seterusnya menjadi titik tolak kepada kebangkitan Islam dan penyebaran Islam sehingga saat ini.

Berasaskan semangat tersebut, sekumpulan 40 rakyat Malaysia menyahut cabaran mengembara merentasi tujuh negara. Tujuannya, menyusuri sejarah kewujudan masyarakat Melayu dan Islam di kawasan utara Asia Tenggara termasuk China.

Lebih mencabar, pengembaraan ini bukannya menaiki kapal terbang tetapi mereka akan menggunakan pacuan empat roda bermula dari Malaysia kemudian ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar.

Mereka bakal menempuh laluan sejauh lebih 10,000 kilometer (km) dalam masa 22 hari, bermula 25 Mei dan berakhir 14 Jun 2011 melalui program Jejak Warisan Jawi II (JWJ2).

Sepanjang perjalanan, anggota ekspedisi bakal menemui sejarah-sejarah berkaitan orang Melayu, jenis dan bentuk amalan Islam di kalangan mereka.

Selain mencari salasilah warisan serta budaya Melayu, sekurang-kurangnya dengan pengembaraan seperti itu para anggota ekspedisi akan melihat secara langsung bagaimana Islam diamalkan oleh penduduk setempat.

Adakah amalan mereka serupa dengan kita ataupun sebaliknya. Sejauh mana pengetahuan mereka tentang Islam terutama ibadah wajib sama ada fardu ain mahu pun fardu kifayah.

Bagaimana pula kedudukan ekonomi mereka. Difahamkan kebanyakan mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Segala-galanya akan terjawab sebaik sahaja kumpulan ekspedisi menemui mereka sepanjang pengembaraan JWJ2.

Paling penting usaha seperti itu secara tidak langsung dapat merapatkan semula persaudaraan sesama Islam antara masyarakat Islam di Malaysia dengan masyarakat Islam di negara-negara yang akan dijelajahi.

Selain itu, kumpulan ekspedisi juga akan berusaha menjejaki penemuan-penemuan dalam bentuk material seperti al-Quran lama, tulisan khat, masjid serta sebarang bukti bertapaknya Islam di satu-satu kawasan.

Menurut Pengarah JWJ2, Zaid Muhammad Mohd. Rais, penjelajahan ini adalah atas semangat ukhuwah kerana masyarakat Islam di kawasan tersebut juga merupakan saudara-saudara seIslam.

"Dalam pengembaraan ini kita juga membawa misi kemanusiaan sama ada dalam bentuk pemberian derma, fidyah dan akikah untuk diagih-agihkan kepada mereka kerana kita difahamkan kehidupan mereka serba kekurangan," katanya.

Zaid Muhammad sebelum ini terlibat dalam ekspedisi JWJ pertama pada 12 sehingga 21 Februari tahun lalu.

Katanya, pengembaraan itu membawa keinsafan kepada semua anggota ekspedisi bahawa kehidupan masyarakat Islam di Malaysia jauh lebih baik berbanding saudara seagama di negara-negara bakal dilawati.

Misi tersebut adalah menjejaki minoriti Melayu Islam bermula di Danok, Satun, Krabi, Pantai Kemala, Bangkok sehingga Ayutthaya, 150 km dari ibu negara Thailand.

Bagaimanapun apa yang lebih menggembirakan anggota ekspedisi berjaya menemui kesan-kesan sejarah silam iaitu Islam sebenarnya telah lama bertapak di Thailand.

Antaranya adalah penemuan masjid-masjid yang berusia beratus-ratus tahun, al-Quran tulisan tangan berusia lebih 100 tahun serta kitab-kitab Jawi Melayu lama dianggar berusia ratusan tahun di Masjid Takia di Ayutthaya.

Di masjid yang sama dan di Masjid Jalan Khosan, Bangkok mereka juga menemui tulisan khat Arab 'Muhammad' dipahat di dinding masjid.

Sumber : Utusan Online (Utusan Malaysia/Sisipan MEGA Agama/Muka 12/12.4.2011)

Saturday, May 07, 2011

JWJ : Menjejaki Warisan Melayu

Menjejaki warisan Melayu



Kosmo Online 24.4.2011


MENYELUSURI catatan sejarah lama, nama Srivijaya memang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam alam Melayu.

Kehebatannya menakluk kerajaan-kerajaan lain sehingga membentuk sebuah empayar Melayu yang pertama di Gugusan Kepulauan Melayu antara kurun kelapan hingga ke-11 membuktikan ia kerajaan yang sangat hebat ketika itu.

Itu kisah dunia Melayu lama. Kisah yang menjadi pencetus inspirasi kepada sekumpulan anak Melayu tempatan yang bersatu merentas tujuh negara untuk menjejak warisan bangsa yang masih bertapak di tinggalan empayar Srivijaya.

Begerak di bawah payung Majma’ Warisan dan Budaya Jawi, program Jejak Warisan Jawi, (JWJ) mempunyai matlamat untuk mengesan dan merungkai salasilah warisan budaya kelompok Melayu di tujuh negara serantau bakal dicapai tidak lama lagi.

“Ekspedisi ini memang sukar, namun ia bukan mustahil untuk dijayakan.

“Kita pernah melakukannya sebelum ini dan kali ini kami yakin, kami akan berjaya,” ujar salah seorang anggota ekspedisi JWJ, Zaid Mohammad Mohd. Rais, 37.

Bakal ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar pada 28 Mei hingga 13 Jun ini, JWJ kini giat merapikan segala kelengkapan demi memastikan kembara merentas warisan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu berjalan lancar.


Miskin
Berkongsi pengalaman tentang ekspedisi sebelum ini, Zaid mengakui beliau tidak meragui kehebatan dunia Melayu pada zaman silam.

“Pengaruh kerajaan Melayu lama sangat kuat dan sehingga kini budaya dan adat resam yang menjadi warisan bangsa masih lagi diamalkan, walaupun mereka tidak lagi diperintah oleh kerajaan Melayu,” katanya yang mengembara ke pantai Thailand untuk mengesan jejak masyarakat Melayu bersama rakan-rakannya tahun lalu.

Pertemuannya dengan beberapa kelompok orang Melayu memberikan Zaid pandangan yang sama tentang kelangsungan budaya di bumi asing.

“Mereka berpakaian sama seperti kita. Makan minum juga tidak banyak bezanya.

“Hidup dalam keadaan serba sederhana dan miskin, mereka banyak bergantung kepada kegiatan pertanian seperti getah dan padi. Selain itu, sektor agro pelancongan juga menjadi mata pencarian mereka.





JEJAK Warisan Jawi mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk meneruskan ekspedisi menjejaki komuniti Melayu di bumi asing.



“Sayangnya, segelintir sahaja yang masih boleh bercakap dan memahami bahasa Melayu, itu pun dalam kalangan yang sudah berusia,” katanya.

Tidak pergi dengan tangan kosong, Zaid dan 30 lagi rakannya turut membawa pengisian budaya dan agama dengan harapan masyarakat Melayu yang ditemuinya berpeluang mengenali warisan bangsa.

Kompang

“Anggota JWJ menjadi orang serba boleh dalam ekspedisi ini.

“Kami memandu dan menjejaki penempatan mereka secara bergilir-gilir. Tiba di sana, kami akan disambut dan kami turut memberi sambutan balas.

“Kami akan bersilat, berkompang, berzanji, bernazam, menganjurkan bengkel agama selain menghulurkan sedikit sumbangan buat mereka,” katanya yang berkesempatan menemui waris dan keluarga wanita legenda Langkawi iaitu Mahsuri ketika melawat Patong yang juga dikenali sebagai Pantai Kemala.

Pertemuan kumpulannya dengan seorang lelaki berusia 80 tahun di Klong Muang, Krabi, menitipkan rasa insaf dalam jiwa lelakinya.

“Ketika kami berkompang dan berzanji, seorang lelaki tua datang kepada kami sambil mengesat air matanya.

“Menurut ceritanya, dia berasal dari Kedah. Apabila melihat kami membuat persembahan, ia mengingatkannya kepada kenangan sewaktu membesar di Kedah.

“Katanya, sejak berpindah ke Klong Muang, itulah kali pertama dia melihat orang bermain kompang,” katanya yang sempat bermalam di rumah orang Melayu di sana.

Kitab lama

Pengembaraan JWJ yang bermula di Danok, Satun, Krabi, Pantai Kemala hingga ke Bangkok dan Ayutthaya menemukan mereka dengan pelbagai warisan Melayu yang bumi Gajah Putih itu.


BUDAYA Melayu seperti berkompang antara yang diterapkan setiap kali ekspedisi JWJ berhenti di penempatan komuniti Melayu.



Aku yang berbaju merah, ketika persembahan kompang di Koh Klang, Krabi.



“Di Bangkok, ada Masjid Darul Aman yang usianya sudah beratus-ratus tahun dan masih jelas pengaruh seni bina Melayu pada rekaannya.

“Sempat juga kami menghadiri kenduri tahlil yang dianjurkan sebuah masjid di situ dan upacara yang dilakukan juga sama dengan yang dilakukan di sini.

“Di Bangkok juga, ada Masjid Kosan yang masih bertahan selepas 200 tahun dibina.

“Perjalanan kami diteruskan ke Ayutthaya, kira-kira 70 kilometer dari Bangkok.

“Di sana ada Masjid Takia yang usianya telah mencecah 500 tahun.

“Di situ juga kami menemui beberapa naskhah al-Quran dan kitab lama tulisan tangan disimpan di dalam sebuah kotak yang diletakkan di belakang mimbarnya.

“Di sekitar Ayutthaya juga terdapat banyak candi yang dipercayai bekas masjid berdasarkan teori pembinaannya yang menghadap kiblat,” cerita Zaid.

Adrenalin untuk menjejaki warisan Melayu tidak pernah terhenti buat anggota ekspedisi JWJ.
Selepas kejayaan siri pertama, program seumpama diatur dengan kolaborasi dua universiti tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam memantapkan lagi pengisian program berteraskan budaya dan warisan agama ini.

Inisiatif JWJ yang turut disertai golongan profesional, usahawan, peniaga dan penuntut universiti ini perlu dipuji kerana ia merupakan satu-satunya program ekspedisi yang menjejak warisan bangsa di bumi asing.

“Kami mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk menjayakan program ini. Ia bukan bersifat peribadi, sebaliknya ia adalah kembara bangsa yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kita semua.

“Kehidupan tanpa pengekalan budaya dan warisan di bumi asing yang ingin kami kongsikan diharapkan sedikit sebanyak mampu menggetarkan rasa insaf dalam diri kita.

“Jika kita tidak mengekalkan agama, budaya dan adat resam warisan kita, tidak mustahil satu hari nanti, ramai yang tidak akan mengenal silat dan kompang.

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys