Sunday, December 12, 2010

20 Tahun Lalu

Tanggal 12.12.1990, aku berempat bersiap-siap untuk suatu perjalanan yang jauh. Daripada Muar, Johor ke nun jauh di Kuala Terengganu. Tak banyak yang boleh aku 'refresh' kenangan dan nostalgia tersebut.

Setelah bertungkus-lumus membangunkan Madrasah Darul Ulum (MADUS) , Serom 4, Muar bermula kira-kira tahun 1987 maka kami sebagai pelajar perintis di situ telah diminta untuk melanjutkan pengajian di Terengganu. Kenangan awal pembangunan di MADUS sehingga tahun 1990 masih banyak yang terpahat di dalam memori ini.

Kami berempat yang dimaksudkan ialah adik aku sendiri Nurul Iman Ibrahim, sahabat-sahabat Hisyam Ahbar dan Nujaimi Muhammad. Kami menaiki kereta jenis Datsun Wagon yang dipandu oleh Ustaz Muhammad Ismail (Nazir MADUS) dan diiringi oleh Allahyarham Ustaz Ahbar Anang (Mudir MADUS) mula bertolak daripada MADUS ke Kg Tok Jiring, Kuala Terengganu. Perjalanan pada itu mengambil masa dalam 8-9 jam.

Setibanya di destinasi, kami disambut oleh Cikgu Jamaluddin dan seterusnya kami diserahkan kepadanya untuk menjaga kebajikan kami.

Pondok Hj Abas, Tok Jiring.

Setelah kami mengaji agama secara pondok atau konvensional secara asas di Madrasah Darul Ummah, Sg Rambai, Melaka, Madrasah Ar-Ribat, Parit Perupuk, Muar (Pondok Hj Mat Lip) dan MADUS, kami diminta untuk melanjutkan pelajaran dengan mengaji secara terus dengan Tok Guru Hj Abbas. Harapan orang tua kami ialah apabila telah telah mahir kelak dengan kitab-kitab Ulama Muktabar, kami akan pulang semula ke MADUS dan sama-sama membangunkannya.

Kalau berkesempatan nanti, aku akan cerita serba sedikit nostalgia sepanjang di MADUS dan Pondok Hj Abbas Tok Jiring. Tak ramai sahabat-sahabat lama aku yang dapat aku jejak kembali.

Latar Belakang

Tiga orang daripada 'kami berempat' telah mempunyai kerjaya yang hebat walaupun kami tidak dapat menunaikan impian awal iaitu membangunkan bersama-sama MADUS (telah dijadikan Sek. Men. Agama).

- Ustaz Nujaimi Muhammad kini sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, Bhg. Falak, Jabatan Mufti Negeri Johor.
- Ustaz Hisyam Ahbar kini Imam di Masjid Kajang selepas pulang daripada Al-Azhar.
- Ustaz Nurul Iman Ibrahim kini Pegawai Tadbir di Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM Serdang.

Tok Guru Hj Abbas

Manakala kisah Tok Guru kesayangan Tok Guru Haji Abbas adalah seperti berikut yang dipetik daripada wikipedia.




Lahir di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut hampir seabad yang lalu. Lebih mesra dengan panggilan To’ Guru Haji Abbas kerana kealiman yang diakui umum khususnya dalam bidang ilmu feqah yang merangkumi 4 mazhab iaitu Shafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.

Mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut. Kemudian ketika berusia 14 tahun beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Mekah selama 8 tahun. Dari Mekah beliau ke India menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al-Islamiah, Gujerat ketika berusia 22 tahun. Setelah pulang ke tanah air, 4 tahun kemudian beliau datang kembali ke Benua Kecil Hindi meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Dioband selama 1 tahun pada tahun 1938.

Berpegang kepada prinsip hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredhaan Allah. Ilmu wajib diperkembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya telah membuktikan prinsip itu dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya yang diberi nama Jamiah Diniah. Bersama beberapa orang Ulama’ yang lain beliau membuka sebuah pondok lain di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq, selepas itu di Kuala Besut beliau mengasaskan Darul Adib Al-Khursani.

Gerakan pendidikan dan dakwah tokoh ini tidak terhad di kawasan Besut sahaja, malah melewati sepadan Bukit Yong di Negeri Kelantan Darul Naim dengan membuka beberapa buah pondok mulai tahun 1945. Seterusnya dari Kelantan beliau berhijrah ke Kuala Terengganu mengasaskan pondok Tok Jiring yang terkenal itu pada tahun 1953 sehingga berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama sehingga kerajaan negeri mengambil alih pentadbirannya pada 1962 dan pada tahun 1976 Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf sebagai sebuah sekolah menengah agama yang termoden di Terengganu.

Keistimewaan Tuan Guru Haji Abbas juga terserlah melalui beberapa hasil karya ilmiah dalam bidang keagamaan. Atas segala bakti itu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman telah mengistiharkannya sebagai Tokoh Ulama’ dalam Majlis Sambutan Ma’al Hijrah tahun 1409. Pada 17 April 1989 DYMM Tuanku Al Sultan telah berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, (DPMT) kepadanya yang membawa gelaran Dato’ kepadanya.

Lanjutan daripada itu beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional.

Begitu juga dengan keterlibatan beliau dalam politik yang pernah dilantik sebagai senator selama 6 tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal tahun 60an.

Beliau mempunyai 15 orang anak. Salah seorang daripadanya meneruskan pendidikan pondok ialah Encik Abdul Aziz bin Haji Abbas. Pada 1 Julai 1997 beliau telah kembali ke rahmatullah.

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys