Thursday, January 07, 2010

Lega ?

Jam 11 pagi tadi aku sampai di Fakulti Pengajian Islam UKM untuk bertemu dengan penyelia projek akhir atau kajian ilmiah di biliknya untuk menyerahkan semua tugasan yang telah disemak dan dipinda beberapa kali dan telah dijilid dalam bentuk 'hard cover'. Perjalanan menaiki motosikal Ego-S daripada Shah Alam mengambil masa dalam 45 minit. Hujan rintik-rintik di Puchong tapi aku redah semacam jer. Cuaca redup dan kenderaan besar yang banyak mengiringi perjalanan aku.

Ambil borang penyerahan projek di kaunter Jabatan Syariah di mana satu salinan borang dan laporan kajian diserahkan kepada penyelia dan satu salinan dan laoran kajian lagi diserahkan di kaunter fakulti pengajian Islam di tingkat 1. Penyelia yang aku maksudkan di sini ialah Ustaz Nik Abd Rahim daripada Jabatan Syariah. Kengkawan aku yang berkongsi penyelia ialah 'Adlan Jaafar (Imam Masjid Jamek 2 Muar), Zainal Fitri Ahmad (Pendidikan JAIJ) dan Rais Taib (Guru Sek Keb Sg Abong di Muar). Rasanya aku orang yang pertama agaknya di kalangan empat orang ini walaupun tarikh akhir sebenar untuk menghantar projek ilmiah ini ialah pada 20 Disember 2009.

Semenjak beberapa minggu atau lebih sebulan aku bertungkus-lumus untuk menyiapkan projek ilmiah ini sampaikan tak cukup tidur dibuatnya. Paling selesa untuk memulakan penulisan projek ilmiah ni semestinya selepas jam 12 tengah malam pasal anak-anak aku dah masuk tidur masa tu. Memang silap aku sebenarnya kerana tidak memulakan kajian atau projek ilmiah ini terlebih awal di mana sepatutnya boleh memulakannya mulai hujung Ogos 2009.

Tapi aku belum boleh melompat atau terbang keriangan pasal masih ada satu subjek lagi yang belum menduduki peperiksaan akhir. Pada peperiksaan akhir semester pada bulan Ogos 2009, aku tak dibenarkan mengambil peperiksaan satu daripada dua subjek (semester pendek) dengan alasan jumlah pertemuan dengan pensyarah tidak melayakkan aku masuk dewan peperiksaan. Dengan rasminya, apabila keluar keputusan peperiksaan maka 'E' yang aku dapat untuk subjek ini. Kecewa menonggeng.. punyalah susah main 'maintain' atas CGPA 3.0 tetiba menjunam CGPA aku.

p/s tak sabar nak tunggu konvokesyen pada bulan Ogos 2010 nanti.



Friday, January 01, 2010

Salam 2010


Di pagi-pagi buta ini, aku nak amik kesempatan untuk mengucapkan Salam Tahun Baru 2010 dalam menghadapai 365 hari yang mendatang. Tahun 2009 yang telah melabuhkan tirainya meninggalkan terlalu banyak kenangan sama ada baik atau buruk, manis atau masam-masam manis dan rutin harian kerja atau keluarga.

Usia pun secara tak langsung telah meningkat, uban mula menampakkan diri di rambut dan kematangan diri semakin masak. Ketika ini langit di luar dikatakan sedang gerhana bulan, namun bila aku jengah di luar rumah masih tak pasti kerana langit mendung mungkin kerana dek asap bunga api dan mercun yang memenuhi ruang angkasa jam 12.00 malam tadi.

Apa kenangan 2009, ya ? Pada 1 April 2009, aku bertukar kerja baru dengan status baru iaitu jawatan tetap 'gomen' dan gred jawatan S27. Sebelum tu, aku kerja kat MBSA selama 8 tahun pun hanya dengan jawatan kontrak memanjang dan jawatan pada masa tu Pembantu Penilaian W17. Kerja apa sekarang tu ? Kerja di bawah skim JAKIM tapi jawatan aku telah di'kader'kan dalam Gred S27 di PDRM melalui Bahagian Agama & Kaunseling (BAKA) PDRM di IPD Daerah Shah Alam.

Selain tu, kenangan 2009 yang boleh dikongsi ialah kenangan meninggalkan UKM pada hujung 2009 kerana secara rasminya aku dah habis dengan Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Syariah) secara separuh masa. Tetapi yang tak rasminya masih belum habis kerana masih belum siap @ menghantar projek akhir dan masih ada satu subjek lagi yang belum menduduki peperiksaan akhir semester.
Cabaran menghabiskan pengajian memang mengujakan kerana waktu hujung minggu Sabtu dan Ahad selama empat tahun, aku asyik berulang-alik ke Bangi. Walaupun 'post' awal dan terakhir aku pada 20 April 2008, mudah-mudahan tahun 2010 ini akan membuatkan aku rajin menulis dalam blog sendiri di samping berkongsi-kongsi pengalaman. Bukan senang untuk menulis blog, silap haribulan boleh kena saman lah.. kena kutuk lah.. tapi blog ini aku tulis untuk kisah keluarga aku saja.

Aku harapkan dengan kehadiran tahun 2010 dan tahun 1431H ini dapat menzahirkan banyak peluang untuk aku terus membina hidup yang lebih bahagia dan selamat di dunia dan akhirat. Ya lah! Anak-anak semakin membesar maka kerak periuk pun jadi besar juga.

p/s Buat kengkawan, guru-guru dan keluarga ; Salam 2010 dan Salam Ingatan Penuh Mesra.

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys